Mangsa yang terlibat adalah K. Kandasamy, 62, dan anaknya, Ganapathy, 32, yang ditemui di tingkat kedua. 

Isteri Kandasamy, S. Jayaletchumy, 59, pula ditemui di tingkat bawah dalam keadaan melecur.

Ketua Zon Petaling Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Anuar Harun berkata, hasil siasatan awal mendapati bermula dari tingkat bawah di mana mangsa pertama ditemui.

“Api kemudian mula merebak ke tingkat atas rumah tersebut.

“Mangsa kedua dan ketiga ditemui di tingkat dua di bilik tidur utama berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Anuar menambah, hasil perbualan dengan jiran sekitar, kawasan rumah itu dibina sekitar tahun 1980-an.

“Rumah di kawasan itu tidak mempunyai pintu di bahagian belakang dan berkongsi dinding dengan rumah di bahagian belakang.

“Ketika dibina, tiada lagi sebarang akta mengatakan keperluan untuk pembinaan pintu belakang, hanya sekarang ada akta khusus yang perlu merujuk rujuk Pihak Berkuasa Tempatan terlebih dahulu,” ujarnya.
 
Menurutnya, unit forensik bomba dan polis dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran berkenaan.

Terdahulu, jurucakap JBPM Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.47 pagi.

Bertindak atas maklumat tersebut, seramai 20 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dan Subang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran. - K! ONLINE