Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya  masih menyiasat dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut.

"Ini yang kita nak tahu, siapa yang bawa keluar cerita-cerita begini, jangan buat keputusan yang terburu-buru, biar siasatan dibuat dengan lengkap dan biar polis yang mengeluarkan kenyataan mengikut kesesuaian tetapi jangan membuat kesimpulan awal," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan  Karnival Usahawan  Belia  Negeri Johor 1.0 di @Mart Kempas, di sini, lewat malam  tadi.

Beliau berkata demikian  ketika diminta mengulas mengenai video kehadiran wartawan dari sebuah negara  yang dipercayai berada dalam Malaysia dan membuat liputan kes  pembunuhan warga Palestin, Dr. Fadi Al Batsh yang ditembak mati berhampiran sebuah kondominium di Jalan Meranti, Kuala Lumpur, pada 21 April (Sabtu) lalu.

Video berdurasi 38 saat dan menjadi viral di media sosial baru-baru ini menunjukkan seorang wartawan daripada sebuah portal berita asing membuat liputan di lokasi kejadian jenayah itu berlaku.

Menurut Nur Jazlan, pihaknya sentiasa memantau setiap pergerakan rakyat  asing yang masuk ke Malaysia.

"Kita ada banyak pelarian perang dari Somalia, Sudan dan Yemen, yang mencari perlindungan di Malaysia. Kadang-kadang isu di negara mereka itu dibawa ke negara kita dan kita sentiasa mengawasi perkara itu tetapi adalah sukar bagi kita untuk mengawasi semua orang tertentu ini.

"(Dan) dalam kes ini, kita tidak tahu apakah motif pembunuhan pensyarah itu, jadi tunggu polis buat siasatan. Itu je yang saya boleh komen," kata penyandang kerusi Parlimen Pulai itu. - Bernama