Menurut Mariam, keputusan DNA itu seterusnya mengakhiri penantian mereka terhadap kehilangan anak bongsu daripada enam beradik itu.

Katanya, dia menghormati prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan kesahihan mayat tersebut walaupun firasatnya kuat menyatakan mayat itu merupakan anaknya susulan dua kesan parut di bahagian betis sebelah kiri dan perut.

"Ibu mana yang tidak bersedih melihat anaknya meninggal dunia namun saya bersyukur ia telah selesai.

"Bagi saya, arwah merupakan seorang yang periang dan manja semasa hidupnya yang pasti akan dirindui oleh kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di Unit Foresik Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Mariam bagaimanapun merasa pelik terhadap kematian anaknya yang sehingga kini belum diketahui punca sebenarnya.

Dakwanya, berdasarkan maklumat awal diperolehi mendapati arwah merupakan antara mangsa kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) pada awal pagi Jumaat lalu selepas dikatakan membantu salah seorang mangsa kemalangan.

"Arwah mungkin terpelanting ke dalam sungai susulan penemuan beberapa barangannya termasuk topi keledar yang pecah dan begnya," katanya.

Mengulas lanjut, Mariam menegaskan arwah anaknya itu dijangka menyambut hari lahirnya pada 1 November depan.

"Allahyarham Amir Hamzah juga tidak sempat memperoleh Diploma Pengurusan Aviation dalam majlis konvokesyennya pada 13 Oktober lalu selain dijadual menyertai Tentera Darat semalam," jelasnya.

Jenazah Amir Hamzah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Jawa di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah Allahyarham Amir Hamzah selepas ujian DNA dilakukan menerusi DNA Mariam.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian di Sungai Kandis di sini Isnin lalu mencetuskan persoalan sama ada merupakan Amir Hamzah yang dipercayai hilang selepas motosikal jenis Yamaha Y15 dijumpai di lokasi kemalangan maut Kilometer 14.5 NKVE pada Jumaat lalu. - K! ONLINE