Aminah Abdullah, 84, selaku pemohon mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 di hadapan Pendaftar Mahkamah Siti Zulaiha Mohamad Mansor. 

Peguam Syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Aminah berkata, tuntutan harta berjumlah lebih RM2 bilion itu bagi pembahagian, penyeneraian serta menentukan bahagian-bahagian harta yang ditinggalkan kepada waris yang berhak. 

"Antaraya ialah 20 hartanah melibatkan beberapa buah rumah, tanah dan syarikat di seluruh Malaysia, Mekah dan Amerika Syarikat. 

"Hari ini adalah pengurusan kes dan balu Allahyarham iaitu Puan Seri Kalsom Ismail serta anak-anaknya  telah dimaklumkan mengenai permohonan ini. Pada masa sama mereka juga turut memohon untuk menjadi pencelah, " kata Kamar Ainiah. 

Bagaimananpun Kalsom dan anak-anaknya tidak hadir ke mahkamah. 

Berikutan itu mahkamah menetapkan 13 September ini bagi pengurusan kes seterusnya. 

Dalam kejadian menyayat hati pukul 4.55 petang 4 April 2015 Jamaludin, 64, dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias antara enam terbunuh apabila helikopter AS365 yang mereka naiki terhempas dan terbakar di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, di sini. 

Empat lagi mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu juruterbang, Aidana Baizieva; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaludin iaitu Koperal Razakan Seran.

Kesemua mereka termasuk Jamaludin yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri ketika itu menaiki helikopter dari Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang. - K! ONLINE