Aminah, 85, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui firma Tetuan Wan Marican, Hamzah & Shaik pada 3 Januari lalu dengan menamakan anak sulung Allahyarham, Nur Anis, 34, dan Ikwan Hafiz, 32, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, peguam Aqilah Pawancheek yang mewakili Ami­nah berkata, mahkamah menetapkan 2 April ini untuk pengurusan kes dihadapan Hakim Datuk Mohd. Firuz Jafril.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Aminah mendakwa, ke­dua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka Allahyarham Jamaluddin gagal memasukkan sebahagian syer tiga buah syarikat iaitu Rantai Wawasan Sdn. Bhd.; Alpine Motion Sdn. Bhd. dan Ivory Insights Wawasan Sdn. Bhd. ke dalam senarai aset dan liabiliti milik Allahyarham.

Dakwa Aminah, tindakan itu dibuat bertujuan menafikan hak dan kepentingannya selaku plaintif sebagai benefisiari (pe­nerima) terhadap harta pusaka itu.

Aminah juga mendakwa ke­dua-dua cucunya itu gagal menyatakan anggaran nilai bagi setiap satu syer tiga syarikat itu yang bernilai RM1,384,312,154 dua tahun enam bulan selepas kematian Jamaluddin dan gagal memberi maklumat berhubung harta pusaka sebelum plaintif melantik peguam syarie dan peguamcara untuk bertindak bagi pihak plaintif.

Defendan-defendan juga didakwa gagal memasukkan ke dalam senarai aset yang dimiliki Allahyarham iaitu sebuah apartmen di Beacon Street, Boston, Amerika Syarikat dengan anggaran nilai RM10 juta yang dilampirkan bersama surat pentadbiran. - K! ONLINE