Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz sewaktu membacakan penghakiman yang dilakukan di dalam kamar mahkamah mengarahkan kesemua defendan berkenaan termasuk Pengarah Hospital Besut dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) membayar amaun tersebut terhadap Muhamad Sardi Saad, 41, dan Fadilah Abd. Wahab, 47, yang merupakan ibu bapa Ulya Insyirah.

Beliau berkata, ia merangkumi ganti rugi am sebanyak RM600,000, ganti rugi khas (RM96,792.13) dan ganti rugi teladan (RM200,000).

Sembilan defendan lain yang turut dinamakan plaintif ialah kerajaan Malaysia dan lapan doktor perubatan di Hospital Besut dan HSNZ iaitu Dr. Shairazi Azizi Mohd. Salleh, Dr. Mohd. Ruhaifi Yusuf, Dr. Norzaherawati Aryani Md. Tahir, Dr. Hasmani Hamat, Dr. Muhammad Solehuddin Ishak, Dr. Noor Ain Noor Afendi, Dr. Sharifah Huda Engku Alwi dan Datuk Dr. Jimmy Lee Kok Foo.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Muhamad Sardi dan Fadilah telah membawa anak bongsu mereka, Ulya Insyirah yang mengalami muntah-muntah ke Unit Kecemasan Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan pada pukul 9.30 pagi, 5 Disember 2013.

Dakwa mereka, mangsa telah diberikan rawatan susulan dengan air dimasukkan melalui tangannya sehingga menjadi punca komplikasi yang menyebabkan tangan dan badan kanak-kanak iutu membengkak dan sembap.

Kanak-kanak perempuan itu kemudian tidak sedarkan diri pada pukul 11 malam sebelum dikejarkan ke HSNZ pada 5 pagi keesokannya sebelum disahkan meninggal dunia akibat septicaemic with hypovoluemic shock atau bengkak dalaman yang serius oleh kemasukan air atau lebihan ubat rawatan pada 8.05 pagi, 6 Disember 2013. - K! ONLINE