Ibu mangsa, Farrah Madihah Othman, 28, dan suaminya, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, ditemani oleh ahli keluarganya dan rakan-rakannya.

Difahamkan, suami isteri itu sedang melakukan proses pengecaman terhadap mayat bayi itu sebelum bedah siasat dilakukan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan turut hadir ke IPFN HKL kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau dilihat turut memasuki IPFN HKL untuk bertemu ibu bapa mangsa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, Adam dilaporkan hilang selepas dihantar ke rumah pengasuhnya pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

“Pada pukul 6.30 petang, ibu bapa Adam datang untuk mengambil anaknya namun pengasuhnya memberitahu anaknya diambil oleh seorang lelaki.

“Ibu bapanya terus membuat laporan polis dan pengasuh dipanggil untuk memberikan keterangan dan mendapati kenyatannya mencurigakan.

“Polis kemudian pergi ke rumahnya dan menemui mayat bayi tersebut dalam peti ais pada bahagian sejuk beku. Mangsa ditemukan lengkap berpakaian dan dibalut dengan kain lampin disumbat dalam beg pakaian berwarna hijau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE