Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an manakala anak lelakinya berusia sembilan tahun itu dalam perjalanan menuju ke sebuah sekolah rendah di sini sebelum kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal Honda Wave yang dinaiki dua lelaki.  

Komender Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Kamisan Marimin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 7.18 pagi sebelum mengarahkan sebuah jentera FRT bersama-sama lapan anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian.

"Apabila sampai ke lokasi, kita dapati kereta tersebut berada dalam keadaan terbalik dan tenggelam di dalam parit berkenaan. Paras air di dalam parit tersebut ketika itu dianggarkan sedalam kira-kira 1.5 meter.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai. Mangsa wanita tidak mengalami sebarang kecederaan manakala anaknya hanya cedera ringan di bahagian pipi dan kaki," katanya.

Kamisan berkata, kedua-dua pengunggang motosikal turut mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.

 Katanya, kesemua mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini untuk rawatan lanjut. - K! ONLINE