Pengesahan tersebut selepas kedua-dua mereka membuat ujian darah di sebuah hospital swasta di Damansara. 

Menurut wanita yang enggan dikenali berusia 30an itu, wabak itu didakwa berpunca daripada kanak-kanak yang belajar di sebuah tadika di Denai Alam. 

Katanya, anak perempuan itu mula mengalami simptom H1N1 sejak Ahad lalu apabila mengalami demam panas pada suhu 38.8 darjah celcius. 

"Saya membawa anak ke sebuah klinik namun hanya dikatakan sebagai demam biasa. 

"Demam itu turut berjangkit kepada saya dan akhirnya membawa kepada ujian darah dengan hasilnya  disahkan dijangkiti H1N1 kelmarin," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Wanita itu menegaskan sebaik disahkan dia bersama anaknya menjalani kuarantin selama lima hari di dalam satu bilik asing di rumah mereka. 

Tambahnya, selain demam antara simptom lain dialami adalah loya dan muntah-muntah serta sakit di beberapa bahagian sendi. 

"Saya mengesyaki anak dijangkiti wabak itu semasa berada di tadika yang terletak berdekatan kawasan perumahan saya ini. 

"Ini berikutan difahamkan lima atau enam anak murid di tadika sama mengalami simptom yang sama namun tidak pasti sama ada mereka ada membuat ujian darah seperti kami,"katanya.

Mengulas lanjut, wanita itu difahamkan pengurusan tadika itu telah melakukan 
pembersihan selama tiga hari berturut-turut bermula Isnin lalu bagi mengelak wabak itu merebak. 

"Saya memuji usaha tadika itu dan tidak menyalahkan pihak tadika berkaitan perkara ini. 

"Cuma apa dikesalkan adalah sikap ibu bapa yang kurang prihatin dan tetap menghantar anak mereka ke tadika meskipun tidak sihat," jelasnya. - K! ONLINE