Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari tersebut, mayat Mongulin Jumahil, 70, ditemui penduduk kampung yang pada ketika itu sedang membantu memadam api sebelum kehadiran pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, semasa kejadian penduduk kampung tidak menyedari mangsa lelaki tempatan berada di dalam kawasan hutan terbabit.

"Difahamkan, sebelum insiden warga emas berkenaan pergi ke kebun bersendirian dan dipercayai cuba memadam kebakaran hutan dengan anggaran keluasan 8.1 hektar. 

"Mungkin kerana terlalu letih dan mengalami sesak nafas disyaki terhidu asap mangsa rebah sebelum tidak sedarkan diri dan rentung," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Bagaimanapun, punca kebakaran dan kematian mangsa masih dalam siasatan.

Tambah Ishak, seramai 11 anggota dan sebuah jentera daripada BBP Kudat dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.35 tengah hari.

"Sebaik tiba di lokasi pasukan bomba segera menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan pemerap api bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan perkampungan dan kebun getah berhampiran," jelasnya.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 3.08 petang. - K! ONLINE