Dalam kejadian lebih kurang pukul 3 pagi itu, difahamkan penghuninya sedang menyediakan sajian sahur sebelum terdengar kayu patah di bahagian dapur dan merebak ke bahagian lain rumah berkenaan.

Menurut seorang mangsa, Mohd. Sharil Jaya, 30, rumah itu didiami 40 orang daripada lima buah keluarga.

"Dipercayai hujan lebat berterusan telah menyebabkan tiang di bahagian dapur patah terlebih dahulu sebelum menjejaskan bahagian lain di dalam rumah ini.

"Kami bersyukur kerana sempat keluar menyelamatkan diri dan buat masa ini dapat menumpang teduh di rumah keluarga terdekat. Barang yang masih boleh digunakan disimpan sementara di rumah jiran," katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Zon Sandakan, Ahmad Roslan Mohd. Kamel berkata, pihaknya bergegas ke lokasi bagi melakukan pemantau selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.25 pagi. - K! ONLINE