Ia merupakan keputusan positif pertama buat Malaysian Tigress, No. 22 dunia, selepas terdahulu tewas dua kali berturut-turut, 0-3 dan 0-5 dalam dua perlawanan awal daripada lima siri aksi persahabatan tersebut.

Dalam aksi ketiga yang cukup menghiburkan sebentar tadi, skuad negara hampir-hampir mencatatkan kemenangan walaupun ketinggalan dua gol kepada pasukan ranking kesembilan dunia itu menerusi Navjot Kaur dan Navneet Kaur pada minit ke-13 serta 22.

Skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu berjaya bangkit menjaringkan empat gol untuk mendahului 4-2 menerusi dua jaringan Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-27 dan 38 serta masing-masing satu daripada Kirandeep Kaur Gurdip Singh (m-26) dan Nuramirah Syakirah Zulkifli (m-35).

Hasrat untuk mencetak kemenangan pertama tidak kesampaian selepas India bangkit menyamakan kedudukan 4-4 melalui Navneet dan Lalremsiami pada minit ke-45 serta 54.

Meskipun masih gagal meraih kemenangan selepas tiga perlawanan, namun prestasi dan corak permainan ditampilkan barisan pemain Malaysian Tigress wajar mendapat pujian.

Skuad negara akan meneruskan baki dua perlawanan persahabatan menentang India pada Rabu dan Khamis ini.

Lima siri persahabatan itu merupakan salah satu langkah persediaan buat Malaysian Tigress sebelum menghadapi pusingan kelayakan awal Sukan Olimpik 2020 iaitu Final Siri Hoki Dunia di Dublin, Ireland pada Jun depan. - K! ONLINE

Kirandeep Kaur (tengah) berjaya meledak gol pertama Malaysia dalam perlawanan yang berkesudahan seri
Kirandeep Kaur (tengah) berjaya meledak gol pertama Malaysia dalam perlawanan yang berkesudahan seri 4-4 dengan India di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi.