Itali, No. 32 dunia, terpaksa akur tewas 1-3 kepada pilihan utama kejohanan, Kanada pada separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Ternyata, kekuatan Kanada selaku pasukan No. 10 dunia gagal disaingi Itali walaupun mereka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Pietro Lago pada minit ke-28.

Enggan maruah tercalar, Kanada bangkit memperkemaskan permainan hingga berjaya menjaringkan tiga gol untuk memenangi perlawanan tersebut.

Tiga gol Kanada diperoleh menerusi Sukhi Panesar pada minit ke-32, Keegan Pereira (m-43) dan Oliver Scholfield (m-60).

Lawan Kanada di pentas final esok adalah pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Malaysia dan Austria.

Untuk info, Itali mencipta kejutan demi kejutan sehingga berjaya mara automatik ke separuh akhir dengan tiga kemenangan berturut-turut dalam aksi Kumpulan B termasuk menewaskan Malaysia 4-2. - K! ONLINE