NGO berkenaan yang diketuai Pengerusi Pertubuhan Melayu Gagah Bangsa Bersatu (Kumega) Kedah Shaiful Affandi Bachtiar membuat laporan itu di Balai Polis Kuah di sini.

Enam lagi NGO berkenaan ialah Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia, Pertubuhan Muafakat Amal Warisan Bersatu, Pertubuhan Kebajikan Warisan Islam Malaysia, Generasi Waja Langkawi, Persatuan Seni Silat Harimau Hasleng Malaysia dan Pertiga Langkawi.

Shaiful berkata mereka turut melampirkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menghina secara keterlaluan terhadap  Dr Mahathir yang kini merupakan perdana menteri dan Anggota Parlimen Langkawi.

"Kami meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Sebagai anak tempatan, kami turut merasa terhina dengan posting-posting ini kerana Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh jangka masa yang panjang itu telah banyak berjasa membawa pembangunan di Malaysia, khususnya di Langkawi,"  katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Beliau berkata tindakan tegas pihak berkuasa diharapkan akan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat. - Bernama