Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil hari ini menolak permohonan Syarul Ema Rena Abu Samah bagi perbicaraan itu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan diputuskan.

"Kami tidak bersama-sama anda. Perkara ini perlu diteruskan. Perbicaraan perlu diteruskan. Permohonan (penangguhan) ditolak," kata  Ahmadi yang mempengerusikan panel itu.

Syarul Ema, 37, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk merujuk kesnya ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia  (CMA) 1998. Mahkamah masih belum mendengar rayuannya.

Pada 17  Februari, 2016, Syarul Ema mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang  terhadap pertuduhan secara sedar menggunakan aplikasi rangkaian, menerusi profil Facebook "Ratu Naga" untuk membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatknya terhadap Najib berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik  (TPPA) dengan niat untuk menganggu orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam laman Facebook miliknya pada 12.02 pagi, 6 Oktober, 2015.

Syarul Ema didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) CMA yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesnya ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen pada 26 April.

Dalam prosiding hari ini, peguam mewakili tertuduh, Latheefa Koya semasa memohon perintah penangguhan berhujah sekiranya mahkamah rayuan membuat keputusan memihak kepada anak guam berhubung soal keperlembagaan itu, perkara itu akan menjadi akademik.

Timbalan Pendakwa Raya  Mohd Sophian Zakaria dalam hujahnya berkata  perbicaraan itu patut diteruskan kerana tiada sebarang keputusan mahkamah berhubung keperlembagaan  Seksyen 233 (1)(a) CMA. - Bernama