Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, semua kelas yang terlibat itu ditutup selama 10 hari untuk membolehkan kerja pembersihan dijalankan bagi memastikan murid lain tidak dijangkiti HFMD.

"Sekolah terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa di daerah Timur Laut membabitkan tiga kelas Tahun Dua dan Tiga ditutup selepas 13 kes HFMD dilaporkan di situ manakala di daerah Barat Daya sebuah kelas tahun empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kongsi ditutup selepas terdapat tujuh kes.

"Sementara itu, di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sebuah kelas tahun satu di SK Juara ditutup kerana terdapat dua kes HFMD dan sebuah kelas tahun satu di SK Permatang Pauh membabitkan tiga kes manakala di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sebuah kelas tahun dua di SK Jawi ditutup selepas tujuh kes dilaporkan di situ," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam, sebanyak 13 premis masih ditutup termasuk kelas-kelas di lima sekolah tersebut, tiga taska, empat tadika dan sebuah prasekolah. - Bernama