Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang tular di media sosial kononnya 51 buah sekolah ditutup di sebuah daerah negeri Selangor.

"Didapati terdapat hanya dua kluster HFMD dilaporkan berlaku di dua sekolah dan kedua-dua sekolah ini atau kelas di dalam sekolah terbabit tidak ditutup.

"Sekolah atau kelas yang terlibat tidak ditutup kerana mengambil kira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid-murid lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita berkaitan HFMD sebelum mempercayainya terutama maklumat tidak tepat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu selain daripada KKM. - Bernama