Sebaliknya, beliau menasihatkan agar masyarakat, khususnya pengusaha premis taska, tadika dan prasekolah, mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit itu.

"Statistik kes HFMD telah meningkat iaitu 40,198 kes hari ini berbanding 39,408 kes pada 29 Julai lepas.

Setakat ini, tidak ada keperluan untuk menutup sekolah di seluruh negara atau laksana apa-apa intervensi," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini hari ini.

Dzulkefly ditanya pemberita jika Kementerian Kesihatan akan mengarahkan semua sekolah di seluruh  negara ditutup berikutan jumlah kes HFMD yang semakin meningkat.

Beliau turut memberitahu sebanyak sembilan sekolah masih diarahkan tutup iaitu tujuh di Sabah dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Pahang.

Di Sabah pula, beliau berkata sebanyak 2,200 kes direkodkan hari ini, meningkat daripada 2,195 kes semalam melibatkan Kota Kinabalu, Beaufort, Sandakan, Tawau dan Penampang.

Ditanya pemberita mengenai kes gangguan seksual seorang ketua jabatan ortopedik sebuah hospital di Lembah Klang, Dr Dzulkefly enggan mendedahkan profil suspek agar tidak mengganggu proses siasatan.

Beliau turut meminta pihak media supaya tidak memperbesarkan isu tersebut dan memberi ruang kepada kementeriannya untuk menyiasat perkara itu dengan rapi.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 29 Julai lepas melaporkan ketua jabatan terbabit menjadikan doktor pelatih wanita sebagai sasaran dan mengugut akan menggagalkan latihan perubatan mereka jika tidak mengikut kehendaknya. - Bernama