Exco Kesihatan negeri, Low Chee Leong berkata, daripada jumlah itu sebanyak 790 kes dilaporkan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (677 kes) dan Jasin (306 kes).

"Sebanyak 251 kes yang direkodkan berlaku dalam tempoh 27 Julai hingga 4 Ogos lepas iaitu 125 kes di Alor Gajah, Melaka Tengah (88 kes) dan Jasin (38 kes).

"Kes berkenaan bukan sahaja menunjukkan peningkatan jumlah keseluruhan tetapi jumlah kes yang berlaku di setiap daerah juga meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini jumlah tabika, taska atau tadika yang ditutup ialah sebanyak 11 buah berbanding hanya enam taska atau tadika ditutup pada tahun lepas.

Daripada jumlah itu, hanya satu tabika yang masih ditutup di Melaka Tengah manakala 10 premis yang lain telah dibuka setelah diarahkan tutup selama 10 hari.

Chee Leong berkata, arahan penutupan adalah untuk tujuan pembersihan (disinfeksi) dan memutuskan rantaian jangkitan di premis berkenaan. - Bernama