Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sejak kebelakangan ini, pihaknya menyedari berita-berita yang tidak dapat dipastikan kebenarannya semakin banyak dikongsi di laman-laman sosial.

"Saya ingin menegur segelintir pihak yang bertanggungjawab ke atas penularan berita-berita tidak benar yang melibatkan kerajaan serta institusi Diraja agar menghentikan perbuatan tersebut serta merta.

"Jika ingin menyebarkan sesuatu berita pastikan ia daripada sumber yang sahih dan bukannya berita fitnah kerana ia mampu menggugat keharmonian awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Juadah Berbuka Puasa Bersama Celcom dan Pelancaran Kempen Op Selamat Ke-13 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 Kontinjen Kuala Lumpur di perkarangan pusat beli-belah Sogo di sini sebentar tadi. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob dan Ketua Sumber Manusia Celcom Axiata Bhd. (Celcom), Azmi Ujang.

Menurut Mazlan, penularan berita sebegitu dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan menyasarkan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang.

"Tindakan undang-undang akan diambil ke atas individu yang didapati menyebarkan berita tidak benar atau fitnah," tegas beliau.

Terdahulu, Mazlan merasmikan pelancaran pasukan baru yang digelar Ninja iaitu unit peronda bermotosikal menggunakan 52 buah jentera baharu Kawasaki KLX250 yang dilihat lebih praktikal dalam menangani kegiatan jenayah di sekitar ibu kota.

Beliau turut berkesempatan mengedarkan kira-kira 100 bungkusan makanan serta risalah kempen kepada anggota polis yang bertugas dan orang ramai di sekitar kawasan tersebut. - K! ONLINE