Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggapan yang mendakwa remaja itu menjadi mangsa diculik adalah tidak tepat bahkan dibimbangi akan menimbulkan salah faham, serta boleh menganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

"Jangan memandai-mandai. Pakailah kenyataan rasmi yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Lebih-lebih lagi kejadian ini melibatkan warga asing. Apa orang lain kata itu tidak penting, kerana polis yang lebih tahu apa yang berlaku. Supaya siapa yang datang ke negara kita selamat dan tidak menghadapi masalah.

"Saya diberitahu Timbalan Ketua Polis Negara, setakat ini kes berkenaan dianggap sebagai 'missing person' dan kita tidak anggap ada pihak lain terlibat. Remaja ini berusia 15 tahun dan apa yang dilaporkan bapanya dia tidak seperti kanak-kanak biasa," katanya pada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Bandar Universiti Pagoh di sini hari ini. 

Beliau berkata, sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan kekuatan lebih 150 anggota termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta penduduk tempatan. 

Ahad lepas, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi. Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran. Berita kehilangan remaja berkenaan turut disiarkan oleh media antarabangsa.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai kes penculikan seperti dilaporkan media asing.

Katanya tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan itu kini memasuki hari ketiga. - Bernama