Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, peralatan yang digunakan itu boleh mengambil visual dari udara dan mengesan melalui 'pengimejan haba' objek atau manusia dari ketinggian 1,500 kaki pada waktu siang dan malam.

"Pasukan ini yang bergerak dari Pangkalan Udara Subang dengan kekuatan empat pegawai dan anggota, akan turut membantu dalam pencarian menggunakan pesawat ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Nora Anne dipercayai keluar dari tingkap resort yang diinap mereka sekeluarga.

"Tetapi setakat ini misi pencarian kami tidak menemui sebarang petunjuk. Kalau ikutkan kita yang normal ini, selepas lima hari kita akan berada dalam keadaan lemah sebab itu kita perlu kesan mangsa segera," katanya sambil menambah kesan cap jari di tingkap berkenaan masih dalam siasatan.

Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan kononnya pihak keluarga tidak membenarkan polis menemu bual adik-beradik remaja itu, Mohamad berkata, polis telah merakamkan keterangan semua ahli keluarga dan tidak berhadapan dengan masalah seperti yang didakwa.

Mohamad berkata, selain operasi mencari dan menyelamat, polis turut mengedarkan gambar remaja itu dalam setiap sekatan jalan raya yang dibuat, dimasukkan dalam sistem 'National Urgent Response Alert' (NUR Alert) termasuk portal 'orang hilang'.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak Interpol sejak operasi bermula. Kami alu-alukan juga sebarang maklumat dari mana-mana pihak sekiranya ada," katanya. - Bernama