Hasnul berkata, pihak bank dan peguam tersebut telah mengakui berlaku kekhilafan sehingga bertindak mengeluarkan notis mahkamah tersebut. 

Katanya, mereka telah berjanji akan membatalkannya pada pagi ini berdasarkan maklumat yang diterima oleh beliau. 

"Namun, saya berharap mereka mempamerkan notis itu di dalam akhbar seperti dilakukan sebelum ini kerana melibatkan kredibiliti saya sebagai ADUN. 

"Saya tidak ingin memanjangkan isu ini, namun tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak selesaikan sehingga Isnin ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Beliau turut mengakui notis kebankrapan secara tidak langsung telah mengakibatkan imej tercalar di kalangan masyarakat di Dewan Undangan Negeri diwakilinya secara khususnya. 

Jelas Hasnul, semakan dilakukan beliau di Jabatan Insolvensi kelmarin mengesahkan dirinya tidak termasuk dalam status bankrap. 

"Perkara tersebut masih dalam proses penyelesaian dan aset yang dimaksudkan merupakan sebuah kedai strata telah dilelongkan.

"Aset tersebut dibeli pada 1999 tidak mendatangkan hasil dan saya dah jelaskan bayaran pokok, cuma keuntungan kepada pihak Bank Islam Malaysia Berhad yang memberikan pinjaman itu belum dilangsaikan sepenuhnya," katanya

Terdahulu, notis pemakluman kebankrapan atas penama Hasnul Baharudin mula ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam. - K! ONLINE