Malaysia mula menguasai permainan apabila Corbin Ong yang tampil buat julung kalinya dalam perlawanan kompetitifnya bersama Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 setelah mudah menanduk hantaran lintang Safawi Rasid.

Malaysia terus memburu gol pada minit ke-16 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan pertahanan lawan, Gaspar Da Silva dalam kotak penalti pada minit ke-16.

Bagaimanapun, Safawi gagal menyudahkan sepakan penalti itu pada minit ke-17 apabila dinafikan penjaga gol Timor Leste, Fernandes Aderito Raul

Namun, kegagalan itu nyata tidak melunturkan semangat pemain negara apabila hantaran lintang Matthew Davies membolehkan Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol kedua negara pada minit ke-22.

Norsharul atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo terus merancakkan lagi permainan apabila rembatannya dalam kotak penalti pada minit ke-42 menghasil gol ketiga diikuti jaringan Safawi pada minit ke-45 sekali gus meletakkan tuan rumah mendahului 4-0 sebelum memasuki waktu rehat.

Pada babak kedua, skuad negara bermula agak perlahan sehingga dikejutkan Timor Leste dengan hasil jaringan gol pertama mereka menerusi penyudah kaptennya, Joao da Silva Freitas pada minit ke-52.

Terkejut dengan jaringan tersebut, skuad negara kembali mengatur strategi perlawanan sehinggalah membuahkan hasil menerusi rembatan kencang Safawi pada minit ke-58 untuk Malaysia kembali berkelebihan empat gol.

Tindakan Malaysia memasukkan Faiz Nasir bagi menggantikan Mat Yo berjaya memeriahkan lagi pesta gol negara apabila sepakan volinya pada minit ke-78 mencetakkan namanya selaku penjaring pada malam ini.

Dua minit sebelum babak kedua berakhir, penyerang muda negara, Akhyar Rasid melengkapkan malam gemilang skuad negara dengan gol ketujuh pada minit ke-89.

Kemenangan besar itu menyaksikan Malaysia kini hanya sebelah kaki untuk mara ke pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung, September ini.- K! ONLINE