Keputusan tersebut sudah cukup buat Malaysia menempah perlawanan akhir menentang sama ada Vietnam atau Filipina berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pada aksi malam tadi, skuad Gajah Perang nyata memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila dua kali mendahului perlawanan menerusi jaringan Thitipan Puangchan pada minit ke-18 dan Pansa Hemviboon (m-63).

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe tidak patah semangat apabila melakukan dua kebangkitan bergaya selepas Muhammad Syahmi Safari melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk kedudukan 1-1 pada minit ke-28, sebelum Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menyamakan jaringan 2-2 pada minit ke-70.

Ketika Malaysia hampir melangkah ke final, anak-anak buah Milovan Rajevac dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas bola terkena tangan Muhammad Syahmi, namun Adisak Kraisorn gagal menyempurnakannya apabila bola sekadar melewati palang gol.

Kemenangan sebentar tadi menyaksikan skuad kebangsaan melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki buat kali keempat selepas 1996, 2010 dan 2014.

Kejayaan mara ke pentas final membuka peluang buat skuad negara untuk menjulang kejuaraan kali kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menewaskan Indonesia 3-2. - K! ONLINE