Walaupun terpaksa meraikan ulang tahun kelahirannya di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, ia merupakan satu titik perubahan penting dalam kehidupannya dan turut membawa harapan baharu baginya.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memberitahu Bernama ketika ditemui di HKL hari ini anak sulungnya itu tidak mempunyai sebarang masalah setakat ini.

"Ainul sekarang ini okey, tidur pun dah waktu yang normal, minum susu semua okey, buang air besar pun okey, tidak demam, tidak sakit apa semua dan tiada sebarang masalah. Berat dia kini sudah 3.6 kilogram, itu perkembangan terbaru untuk Ainul," katanya.

Katanya, Ainul Mardhiah masih berada di wad kerana beliau juga mahu segala urusan di hospital diselesaikan terlebih dahulu.

"Kalau bergegas balik awal pun, kalau kena balik sini balik, dua kali kerja pun tidak seronok kan. Sampai doktor kata Ainul betul-betul dah bersedia untuk balik, baru kami balik," katanya.

Walaupun ibu bapa Ainul Mardhiah tidak dapat menyambut hari jadi anak mereka di rumah hari ini, namun mereka reda dan mempunyai perancangan lain.

"Hari ni hari jadi Ainul yang pertama (dan) oleh kerana di hospital bukan boleh sambut besar-besaran kami akan hanya bagi cupcake kepada kawan-kawan Ainul, di atas katil mereka, maksudnya satu wad tu kita bagi mereka cupcake dengan buku, kira-kira 16 orang. Itu hadiah untuk hari jadi Ainul," kata Ahmad Safiuddin sambil menambah, sambutan kecil-kecilan itu akan dilakukan esok.

Menurutnya, jika tiada aral melintang dan Ainul Mardhiah dapat pulang awal, mereka bercadang untuk menyambut hari kelahiran yang pertama puteri sulung mereka pada 25 Ogos ini, bersamaan dengan tarikh lahir isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular di laman media.

Bayi itu yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ itu tiba di London pada 25 Mei dan menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada 10 Jun.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang dengan pelatih pakar bedah Malaysia, Dr. Nur Amalina Che Bakri bertanggungjawab menguruskan rawatan itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi selama tiga hari pada Jun lepas. - Bernama