Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengguna akan menikmati harga runcit RON95 pada harga RM1.92 berbanding RM1.93 seliter dan RON97 pada harga RM2.22 berbanding RM2.23 seliter sebelum ini.

Menurutnya, harga diesel naik sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.04 kepada RM2.05 seliter untuk tempoh sama berdasarkan harga pasaran sebenar Mekanisme Harga Automatik (APM) bagi minggu sebelumnya.

"Kerajaan telah mengotakan janji untuk melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 5 Januari lalu, harga runcit produk petroleum telah ditetapkan secara mingguan dengan menyaksikan penurunan harga runcit petrol RON95  kepada RM1.93 berbanding RM2.20 seliter sebelum ini. 

Penurunan itu juga melibatkan RON97 yang dijual pada harga RM2.23 berbanding RM2.50 dan 
diesel (RM2.04 berbanding RM2.18 sebelum ini). - K! ONLINE