Beliau berkata, ia merupakan inisiatif julung kali kerajaan untuk melihat sejauh mana prestasi graduan cemerlang berbeza dengan pegawai-pegawai PTD yang lain dalam memikul tanggungjawab menjayakan agenda kerajaan.

Ali berkata, pihaknya mengguna pakai model dari negara jiran yang mengambil tiga pelajar cemerlang untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan awam dan melepaskan yang lain kepada sektor swasta.

"Kita mahu menjalankan eksperimen. Sebelum ini, kita ambil semua graduan kelas pertama, kelas kedua atas dan kelas kedua bawah. Sekarang kita mahu melihat sama ada kumpulan graduan cemerlang ini boleh melaksanakan tugas dengan baik atau tidak," katanya kepada media selepas majlis perjumpaan KSN bersama graduan cemerlang tajaan JPA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Menurut Ali, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan membuat pelawaan untuk graduan-graduan tersebut memohon dan mereka perlu menghadiri peperiksaan serta temu duga sebelum menjalani latihan kursus kadet PTD di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sebelum disahkan ke jawatan itu. - Bernama