Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 bagi bacaan kali kedua berkata, pelaksanaan cukai perkhidmatan yang baharu akan mengekalkan model dan skop kenaan berasaskan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang sudah dimansuhkan selaras pengenalan GST pada tahun 2014.

Namun begitu katanya, beberapa penambahbaikan kepada model dan skop kenaan sedia ada perlu dibuat bagi memudahkan pentadbiran cukai, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meminimakan kelemahan yang terdapat di dalam sistem percukaian seperingkat.

"Antara penambahbaikan yang akan dilakukan adalah, nilai ambang jualan tahunan atau nilai had jualan perniagaan bagi tujuan pendaftaran cukai perkhidmatan juga akan diseragamkan kepada RM500,000 setahun bagi semua perkhidmatan bercukai.

"Bagi perkhidmatan restoran seluruh negara, katanya kerajaan akan diberikan kelonggaran dan dicadangkan akan dikenakan cukai perkhidmatan hanya apabila jualan tahunan mereka mencecah RM1 juta setahun," jelasnya.

Bagi penambahbaikan Skop Kenaan Cukai Perkhidmatan, Guan Eng berkata, kepelbagaian layanan cukai adalah bercanggah dengan prinsip ketelusan dan berpotensi menjadi kelemahan yang boleh dimanipulasi bagi tujuan pengelakan cukai selain merumitkan proses pentadbiran cukai.

Sehubungan itu, katanya bagi tujuan pelarasan, dicadangkan beberapa jenis perkhidmatan bercukai dibuat penambahbaikan dan penyeragaman.

Antaranya, perkhidmatan penginapan (hotel) diluaskan meliputi penginapan dan sarapan (bed and breakfast) (B(amp)B), penginapan berkongsi, pangsapuri perkhidmatan dan inap desa. Restoran diluaskan meliputi perkhidmatan penyediaan makanan minuman katering, bawa pulang, trak makanan dan penyediaan makanan minuman di kedai runcit. Perkhidmatan insurans dan takaful kepada perniagaan (B2B) diluaskan meliputi perlindungan insurans am yang ditawarkan kepada individu (B2C) tetapi tidak meliputi insurans perubatan.

"Selain itu, cukai turut diluaskan kepada semua jenis perkhidmatan yang disediakan di kelab malam, kelab persendirian dan kelab golf/lapang sasar, perkhidmatan sewa-pandu meliputi semua penyewaan kenderaan  serta semua bentuk perkhidmatan telekomunikasi.

"Beberapa perkhidmatan baharu juga akan dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus, seperti aktiviti perjudian yang terdiri daripada nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda; perkhidmatan penerbangan serta catar kapal terbang (termasuk helikopter) domestik dan juga perkhidmatan teknologi maklumat," katanya lagi.

Di samping itu, menurut Guan Eng, kadar cukai perkhidmatan bagi kad kredit dan kad caj akan dikenakan pada kadar spesifik RM25 setahun bagi kedua-dua kad utama dan kad tambahan. 

Beliau turut menyentuh berkenaan kemudahan di bawah cukai perkhidmatan terdahulu iaitu sistem kontra yang mana akan dikekalkan.

Melalui kemudahan ini, penyedia perkhidmatan boleh menolak cukai perkhidmatan di dalam penyata bayaran bagi perkhidmatan yang dibatalkan, ditamatkan atau apa-apa sebab yang lain seperti mengurangkan premium atau diskaun, jelasnya.

Dengan penurunan beban cukai ini, Kerajaan Persekutuan berharap kekayaan negara akan dapat dikongsi dengan lebih meluas lagi di pelbagai lapisan masyarakat, khususnya bagi golongan kurang berkemampuan dan juga kelas menengah, katanya.

Beliau menambah, jumlah barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai SST adalah 10 kali ganda lebih besar dan sebanyak RM17 bilion dari segi kutipan cukai dijangka akan dipulangkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat pada tahun ini melalui perubahan sistem cukai ini. - Bernama