"Beliau (Hans Isaac) mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan," katanya dalam satu kenyataan berhubung pelantikan itu hari ini.

Hans Isaac merupakan Pengarah Urusan Social 360 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang keselamatan serta insurans dan pernah menjadi anggota Lembaga Penasihat Finas serta anggota lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada  2012.

Gobind berkata, pelantikan Hans Isaac berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang  menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi Finas selama lebih empat bulan yang lalu.

"Kementerian berharap pengerusi yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha Finas bagi membangunkan industri ini," kata Gobind.

Beliau juga berharap anggota lembaga Finas akan memberikan kerjasama yang penuh kepada pengerusi baharu dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan.

Gobind dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Samsuni untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan tersebut. - Bernama