Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd. Jamil Mat Daud berkata, bagaimanapun, sekiranya keadaan cuaca hari ini panas dan angin kuat ada kemungkinan api yang telah dipadam marak semula.

"Sehingga kini, hampir 85 peratus kebakaran berjaya dipadamkan dengan menggunakan jalan darat dan udara dan operasi pagi ini yang bermula pukul 7.30 pagi hanya mengesan beberapa titik kecil kebakaran yang jumlahnya semakin berkurangan.

"Kita juga mengesan satu titik kebakaran yang menghala ke arah kuari Gunung Baling tapi masih dalam keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd. Jamil berkata, penggunaan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih diteruskan bagi memadam kebakaran menerusi pelepasan 'water bombing' dari udara.

Mohd. Jamil berkata, sehingga pukul 9 pagi tadi sebanyak tujuh beg 'water bombing' telah dilepaskan ke lokasi kebakaran di gunung itu.

"Selain itu, anggota bomba menggunakan 'fire beater' dan 'jet shooter' untuk membantu memadamkan kebakaran kecil yang turut dibantu oleh anggota daripada agensi penguat kuasa yang lain," katanya.

Punca kebakaran itu yang bermula Rabu lepas belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian. - Bernama