Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, siasatan dijalankan Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan SAMB mendapati bacaan ammonia di sungai itu mencecah 3.5mg/l iaitu melebihi parameter yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. 

Katanya, paras pencemaran itu boleh merosakkan kandungan air mentah secara keseluruhan dan bekalan air kepada pengguna terpaksa dihentikan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. 

"Sebanyak 18,076 akaun pengguna terpaksa berdepan dengan masalah gangguan bekalan air apabila loji rawatan air di Gadek dicemari dengan cecair ammonia yang dipercayai berpunca dari pembuangan sisa kolam ternakan ikan keli di Hutan Percha. 

"Langkah pencegahan perlu diambil memandangkan bekalan air itu merupakan sumber mentah bagi tujuan minum kepada sebahagian rakyat di negeri ini dan aspek keselamatan seperti ini tidak boleh dikompromi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Tambah beliau, satu notis pemberhentian serta-merta operasi telah diserahkan kepada dua pemilik ternakan ikan keli terbabit dan laporan polis dibuat bagi tindakan selanjutnya. 

Menurutnya, kegagalan pihak berkenaan mematuhi arahan notis itu boleh disabitkan kesalahan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun. 

"Operasi loji itu bagaimanapun telah pulih sepenuhnya semalam dan isu gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang terjejas dijangka pulih secara berperingkat," katanya.

Antara kawasan yang terjejas, Simpang Ampat, Taman Kebaya-Jalan Kolam Air, Industri Kelemak dan Saujana Height, Pulau Sebang, Solok Duku dan Taman Tanjung Bidara dan Paya Rumput - Kuala Linggi. - K! ONLINE