Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga berkata, dolar AS dijangka kekal disokong oleh jangkaan kenaikan kadar faedah AS yang lebih cepat daripada jangkaan tahun ini dan mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit mungkin akan merasai kesannya.

"Meskipun pemulihan semula dolar AS berupaya menjejaskan ringgit, keyakinan yang ditunjukkan terhadap ekonomi Malaysia dijangka mengehadkan penurunan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Otunuga berkata minggu dagangan akan datang akan menyediakan kepada pelabur tinjauan baharu kekuatan ekonomi Malaysia dengan kedua-dua angka pengangguran dan data inflasi dijadual diumumkan.

Perhatian utama dijangka terarah kepada angka inflasi bagi mencari sebarang petunjuk indeks harga pengguna bergerak ke arah unjuran sasaran inflasi Bank Negara Malaysia pada dua hingga tiga peratus bagi 2018, katanya.

Beliau berkata, dengan Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini, ringgit mempunyai ruang untuk terus meningkat.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, unit tempatan ditutup rendah berbanding dolar AS pada 3.8785/8815 daripada 3.8680/8720 pada minggu sebelumnya.

Ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9573/9603 berbanding 2.9345/9387 pada Jumaat minggu sebelumnya dan turun berbanding yen kepada 3.6042/6080 daripada 3.6035/6076.

Unit tempatan juga susut berbanding pound British kepada 5.5393/5451 daripada 5.4195/4266 pada minggu sebelumnya dan turun berbanding euro kepada 4.7837/7878 daripada 4.7352/7413. - Bernama