Perdana Menteri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran portfolio berikutan perbincangan mengenai perkara tersebut ada dibincangkan bersama jemaah menteri.

Mahathir pada masa sama turut menolak spekulasi bahawa bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, 
Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menganggotai Kabinet.

"Saya bercakap dengan Kabinet mungkin ada tukar sikit portfolio tetapi belum ada.

"Bagaimanapun tiada rombakan Kabinet. Tiada menteri baharu. Itupun saya belum lakukan. Kalau nak buat (pertukaran portfolio), saya maklumkan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan bersama Perdana Menteri Sesi 2 Tahun 2019 di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ura-ura rombakan Kabinet dengan kemasukan Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli.

Beberapa laporan berita hari ini melaporkan mengenai rombakan Kabinet yang dijangka berlaku pada bila-bila masa dan beberapa nama pemimpin disebut-sebut akan menerajui beberapa kementerian dan portfolio baharu.

Sementara itu, Mahathir berkata, beliau tidak boleh mendedahkan portfolio kementerian yang akan ditukar buat masa ini.

"Saya akan memaklumkan perkara ini kemudian," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pencapaian menteri Kabinet, Mahathir merasakan bahawa mereka sudah mempunyai pengalaman lebih setahun dalam menerajui kementerian masing-masing.

"Selepas setahun berkhidmat, mereka kini lebih berupaya daripada sebelum ini. 

"Kita sudah lihat pencapaian mereka dan semua perkara tersebut akan diambil kira," katanya. - K! ONLINE