Wan Hasheliza Wan Ibrahim dan suaminya Shahril Apipie Mokhtar masing-masing berusia 29 tahun maut bersama jiran mereka iaitu Mohd. Radezi Abdul Aziz, 35, dan lelaki warga Indonesia Bambang Sulustio, 39.

Jiran mereka, Nor Azila Saad, 34, berkata, Wan Hasheliza memintanya membuat pulut berintikan kelapa dan ikan masin untuk dimakan petang ini.

"Saya dah siapkan pulut itu dan saya rasa terkilan kerana pagi tadi saya tidak jumpa dia kerana saya keluar awal atas urusan keluarga. Sepatutnya kami makan pulut itu petang ini. Kami sekeluarga memang rapat dengan mereka," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Nor Azila berkata, jirannya yang sarat mengandung itu merancang melahirkan anak pertamanya itu di Kelantan.

"Kami baru bercakap semalam dan dia (Wan Hasheliza) dah siap berkemas untuk pulang ke kampung pada Hari Raya Aidiladha ini.

"Dia sangat teruja kerana telah lama menanti cahaya mata pertama selepas mendirikan rumah tangga tiga tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Mohamad Haziq Haikal Jamri, 15, berkata, beliau mendengar jeritan meminta tolong beberapa minit sebelum keadaan di lokasi itu senyap sunyi.

"Saya pergi ke tempat itu dan melihat kesemua mereka berada dalam keadaan kaku. Beberapa minit sebelum tangga itu runtuh, saya ada berdekatan kawasan itu sebab mengemas sekitar kawasan," katanya. - Bernama