Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata, laporan polis tersebut adalah untuk memudahkan pihaknya mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan penculikan berkenaan.

"Hairul menyatakan dia hampir menjadi mangsa culik lanun ketika menjalankan penggambaran filem Paskal di Pangkalan Hadapan atau sea basing pelantar Tun Sharifah Roziah di Semporna.

"Kenyataan pelakon filem ini tidak berasas memandangkan tiada sebarang kejadian seumpama itu dilaporkan berlaku sepanjang kru filem berada di kawasan keselamatan  Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, semalam Hairul, 30, dan pelakon Ammar Alfian membuat kenyataan menerusi akhbar tempatan mendakwa mereka melalui detik cemas apabila hampir menjadi sasaran culik lanun ketika menjalani penggambaran filem Paskal di Semporna.

Mengulas lanjut, Hazani memberitahu, sepanjang sesi penggambaran filem terbabit produksi turut disertai dan dikawal pasukan keselamatan terlatih (Paskal).

"Secara tidak langsung, kenyataan Hairul mengundang persepsi negatif orang awam terhadap tahap keselamatan di perairan Esszone walhal, direkodkan tiada sebarang kejadian cubaan culik atau penculikan berlaku sepanjang tahun 2017 dan tahun ini," tegasnya.

Menurut Hazani, semua pihak harus berhati-hati dalam membuat kenyataan terutamanya yang melibatkan isu keselamatan negara walaupun ia mungkin sekadar gimik promosi filem.

Beliau menambah, tindakan undang-undang boleh diambil atas sebab menimbulkan kenyataan tidak benar serta mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam khususnya di kawasan Esszone. - K! ONLINE