Tertuduh, Halidon Samsuri, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga mengajar subjek seni visual didakwa melakukan suatu amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 10 tahun sebulan dengan memegang payu dara kanan dan kemaluannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik kokurikulum sebuah sekolah di sini pukul 10.11 pagi, pada 25 Mei lalu.

Berikutan itu, bapa seorang cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak mencadangkan jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin selain serius.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Dony Abdullah memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya seorang guru yang telah berkhidmat selama 23 tahun sebagai seorang pendidik.

“Tertuduh mempunyai tanggung keluarga iaitu seorang isteri yang merupakan seorang guru dan seorang anak lelaki berusia 25 tahun. Dalam kes ini, tertuduh masih belum dibuktikan bersalah dan saya memohon jaminan dibenarkan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Azrul membenarkan tertuduh diikat jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang menganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE