Dalam kejadian pada pukul 6.55 itu, mangsa, Mohd. Azizi Mohamad Salleh, 50, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Proton Waja dari Dewan Serbaguna Seri Iskandar menuju ke rumahnya di Kampung Tengah Parit dekat sini.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh lereng bukit.

“Insiden itu turut menyebabkan tiang lampu isyarat berhampiran lokasi kejadian patah akibat dirempuh kereta mangsa.

“Mohd. Azizi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Mohamad Zainal, setakat ini, tiada saksi bebas yang boleh dipanggil untuk membantu siasatan kemalangan tersebut.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang dekat sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE