Menurut Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, penutupan lapangan terbang itu bermula awal hari ini, selepas laporan seorang juruterbang yang mengesan abu gunung berapi setinggi 7,010 meter setelah Gunung Agung meletus.

Letusan Gunung Agung di timur Bali semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 48 penerbangan dibatalkan, termasuk yang dikendalikan oleh AirAsia yang berpangkalan di Malaysia dan syarikat penerbangan Australia, JetStar.

Keadaan itu menjejaskan lebih 8,000 penumpang, menurut laporan media dalam talian.

Gunung Agung kembali aktif tahun lepas dan meletus pada November tahun lalu, menyebabkan gangguan perjalanan dan menjejaskan industri pelancongan di Bali.

Letusan besar Gunung Agung yang terakhir adalah pada 1963 mengorbankan kira-kira 1,600 orang. - Bernama