"Ini adalah pertama kali logo baharu PH digunakan dalam PRK Seri Setia serta Balakong dan saya kira ia boleh diketengahkan dan diterima pengundi kedua-dua PRK ini," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas mengiringi calon PH, Halimey Abu Bakar menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Wan Azizah yang juga Presiden PH berkata, demikian ketika ditanya fokus kempen PH di kedua-dua PRK itu memandangkan tempoh berkempen yang agak panjang kali ini.

PH yang diluluskan sebagai sebuah gabungan empat parti yang sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Mei lepas terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, Wan Azizah menyeru pengundi di kedua-dua PRK supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian pada 8 September nanti dan tidak mahu isu sambutan dingin oleh pengundi seperti yang berlaku di PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas berulang. - Bernama