Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, mangsa yang dikenali sebagai Maszidah Muhammad, 31, yang berasal dari Tanah Merah bersama jurupandu arah masih berada di gunung berkenaan sejak kelmarin.

Katanya, wanita itu bersama kumpulannya memulakan pendakian ke gunung itu sejak beberapa hari lalu. 

"Mangsa tidak dapat turun kerana dikatakan telah terseliuh kaki ketika dalam perjalanan menuruni Gunung Yong Yap.

"Sementara dua lagi pendaki wanita daripada kumpulan sama itu telah berjaya turun dengan bantuan anggota penyelamat," katanya.

Dua mangsa yang sudah diselamatkan ialah Norhayati Ibrahim, 42, dan Ani Murni Abd. Hamid, 32.

Anuar berkata, khidmat helikopter digunakan kerana jarak perjalanan ke gunung itu yang memakan masa lama dan mencabar.

Katanya, selama lapan jam diperlukan untuk sampai ke lokasi mangsa yang cedera itu.

"Sejak ‪pukul 11‬ pagi semalam operasi menyelamat telah dimulakan untuk mengesan lokasi mangsa yang berada bersama jurupandunya.

"Operasi menyelamat hari ketiga akan disambung pagi ini," katanya. - K! ONLINE