Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata, pemberian air percuma kepada golongan B40 itu akan melibatkan golongan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah sebulan.

"Terdapat dua kumpulan penerima iaitu penerima BR1M beralamat rumah dan akaun Syarikat Air Johor (SAJ) berpadanan berjumlah 230,000 akaun dan penerima BR1M di mana alamat rumah dan akaun SAJ tidak berpadanan yang dianggar kira-kira 100,000 akaun.

"Penerima BR1M beralamat rumah dan akaun SAJ tidak berpadanan itu, contohnya, penerima BR1M yang merupakan penyewa rumah tetapi akaun SAJ adalah di atas nama pemilik rumah atau tuan tanah yang disewanya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Puah berkata pemberian 10 meter padu air percuma seperti dijanjikan dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan itu dianggarkan akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM31.68 juta setahun bermula September ini.

Beliau berkata matkamat utama skim pemberian air percuma berkenaan adalah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat golongan sasaran iaitu B40, memupuk budaya membayar bil air dan memberi kesedaran kepentingan bekalan air dalam kehidupan harian sebagai sumber asli yang perlu digunakan secara berhemah.

Katanya mekanisme pemberian mengikut data penerima BR1M itu diputuskan menerusi Mesyuarat Exco, Rabu lepas, dan berdasarkan kajian serta perbincangan selama dua bulan antara kerajaan negeri dan beberapa pihak berkepentingan termasuk SAJ, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN).

"Kita telah menetapkan beberapa syarat bagi pemberian air percuma ini, antaranya ialah untuk pengguna domestik sahaja dan pemegang akaun mestilah tidak boleh mempunyai tunggakan akaun.

"Pengguna juga tidak boleh melebihi had penggunaan yang ditetapkan iaitu sebanyak 35 meter padu dan bil air juga tidak boleh melebihi RM46 sebulan berdasarkan tarif terkini. Pemberian air percuma ini juga ditetapkan sah untuk tiga tahun," katanya.

Menurut Puah, bagi golongan penerima BR1M di mana alamat rumah dan akaun SAJ tidak berpadanan itu, mereka perlu mengemukakan permohonan dengan mengisi borang dan menandatangani surat akuan di mana-mana pejabat SAJ bermula pertengahan Ogos ini.

Katanya bagi golongan penerima BR1M beralamat rumah dan akaun Syarikat Air Johor (SAJ) berpadanan, mereka tidak perlu membuat sebarang pendaftaran dan rebat RM8 bagi pemberian 10 meter padu air percuma itu akan diberi secara automatik pada  bil air bulanan. - Bernama