Beliau berkata, Mohamad telah melakukan perkara yang tepat dengan secara terbuka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap kes anak lelakinya berusia 31 tahun itu.

Menurutnya, ia merupakan langkah tepat memandangkan tiada sesiapa pun di negara ini yang lebih tinggi daripada undang-undang dan Perlembagaan.

"Saya amat simpati kepada beliau kerana walaupun sukar untuk menjadi menteri, tetapi kadang kala ia lebih sukar untuk menjadi seorang bapa," kata Ahli Parlimen Bagan itu kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut melahirkan sokongan kepada Mohamad dan berharap semua pihak dapat memberikan ruang kepada keluarga beliau serta membiarkan proses undang-undang diambil dengan sewajarnya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau memahami apa yang dialami Mohamad ketika ini kerana anaknya juga pernah dituduh mencabul rakan sekelasnya.

"Saya memahami keadaan Mat Sabu kerana saya sendiri juga seorang bapa...lebih-lebih lagi keluarga saya yang selalu menjadi sasaran. Jadi saya berharap mereka akan bertabah hati dalam menghadapi cabaran ini," katanya.

Dalam laporan media semalam, anak Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan rakannya berusia 33 tahun ditahan dalam pemeriksaan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 pagi.

Kedua-dua lelaki berkenaan disyaki positif dadah jenis ganja dan dibebaskan dengan jaminan polis. - Bernama