Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng semasa kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi George Town, Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Ramkarpal berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi itu dalam masa terdekat bagi memohon Jabatan Peguam Negara menyemak semula pertuduhan tersebut dan seterusnya menggugurkannya.

Sehubungan itu, beliau memohon satu tarikh sebutan baharu bagi memaklumkan perkembangan kes itu dan permohonan sama turut dimaklumkan peguam Li Koon iaitu Datuk V. Sithambaram yang memberitahu bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk membuat representasi bagi menyemak dan menarik balik pertuduhan yang dihadapi Li Koon.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan pihaknya belum menerima permohonan representasi terbabit dan tidak membantah untuk penangguhan kes tersebut. 
 
Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua peguam itu dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes tersebut bagi menyelesaikan segala isu mengenai representasi.

Hadhariah berkata, berikutan peguam kedua-dua tertuduh yang memohon perbicaraan kes ditangguhkan bagi melaksanakan urusan representasi, mahkamah tidak boleh menahan sekiranya pihak peguam tertuduh mahu menjalankan proses berkenaan.

"Semasa pilihan raya, Yang Amat Berhormat (YAB) Lim Guan Eng tidak hadir dan kes ditangguhkan. Sekarang perkembangan terbaharu, YAB mengangkat sumpah pada hari ini sebagai Menteri Kewangan manakala peguam Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia. 

"Ada banyak perubahan. Peguam pula memohon penangguhan bagi memohon representasi. Mahkamah tidak boleh menahan untuk pihak peguam membuat permohonan ini dan kita tidak tahu berapa lama, mahkamah tidak ada pilihan selain menangguhkan kes ini," katanya.

Pada 9 April lalu, perbicaraan kes rasuah Guan Eng dan Li Koon turut ditangguhkan berikutan Guan Eng perlu membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 walaupun penangguhan itu dibantah pihak pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, Guan Eng dan Gobind yang mengetuai barisan pembelaan bagi Guan Eng tidak hadir di mahkamah kerana mengangkat sumpah jawatan masing-masing di Istana Negara. - Bernama