Bercakap dalam sidang media semasa sesi taklimat SST bersama Menteri Kewangan di sini malam ini, Guan Eng memberitahu, sesi taklimat dan pertemuan yang dibuat mengenai SST secara langsung dapat mendengar maklum balas atau masalah yang dihadapi rakyat mengenai pelaksanaan cukai berkenaan.

Jelas beliau, pendekatan seumpamanya akan dijalankan secara berterusan di seluruh negara bagi memastikan matlamat pelaksanaan SST tercapai.

"Saya percaya menerusi program sebegini kita boleh tahu masalah yang dihadapi serta pandangan rakyat mengenai SST.

"Saya yakin pertemuan ini sangat berguna dan pertama kali Menteri Kewangan turun padang sendiri untuk berdepan dan bertemu rakyat berbanding sebelum ini, kalau ada pun Timbalan Menteri Kewangan," katanya.

Turut hadir ialah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman & Cukai Dalam Negeri), Datuk Paddy Abd. Halim dan Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha.

Kira-kira 1,000 orang terdiri peniaga, pihak industri dan berkepentingan turut menghadiri sesi taklimat tersebut. - K! ONLINE