Beliau berkata Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al Riqab Negeri Selangor itu telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 14 Mei 2012 atas dasar kebajikan dan kasih sayang dalam Islam supaya golongan ini tidak terpinggir serta merasa seolah-olah didiskriminasi.

"Di dalam fatwa tersebut telah dinyatakan senarai jenis penerima agihan asnaf Al Riqab yang layak menerima bantuan zakat berkenaan melalui perantaraan mana-mana institusi, pusat, NGO (badan bukan kerajaan) lslam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan hukum syara'.

"Pihak-pihak ini berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara lslam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, antara golongan yang turut tersenarai sebagai penerima asnaf Al Riqab adalah homoseksual, gigolo, biseksual, pengkid, tomboy dan mereka yang bersedudukan dengan orang bukan Islam. 

Mohd Tamyes menegaskan golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender atau lebih dikenali sebagai LGBT dianggap sebagai satu penyakit mental dan amat membimbangkan kerana telah melawan fitrah.

Beliau berkata berdasarkan kepada Al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah S.A.W, hukum yang berkaitan dengan LGBT adalah jelas haram serta bertentangan dengan ajaran lslam.

"Melihat kepada impak negatif gejala ini dalam masyarakat, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengambil inisiatif proaktif dengan memutuskan beberapa panduan hukum yang jelas bagi merungkai persoalan hukum berkaitan isu-isu LGBT.

"Antaranya hukum perkahwinan mak nyah dengan lelaki, hukum menukar jantina mak nyah dan hukum wanita menyerupai lelaki (pengkid).

"Menjadi harapan kami agar masyarakat lebih peka serta perlu lebih penuh keimanan dalam memahami dan melaksanakan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh para ulama berautoriti dalam negara kita ini," katanya. - Bernama