Namun Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata, ia perlu menekankan soal keselamatan pengguna atau penumpang yang mendapatkan perkhidmatan membonceng motosikal.

"Setelah bertugas (sebagai duta) di Indonesia, saya fikir Gojek sangat efektif dan boleh diaplikasikan di Malaysia. Malaysia juga menghadapi masalah yang sama (kesesakan lalu lintas).
"(Namun) masalah keselamatan menjadi perhatian di Malaysia dan beberapa hal berkaitan kemalangan dan insurans perlu ditangani pihak berkuasa," katanya kepada Bernama.

Zainal Abidin, 58, menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia
daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Mac lepas.

Semalam, pemandu Gojek mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bagi membantah terhadap satu dakwaan penghinaan terhadap profesion itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi Malaysia.

Menurut beberapa laporan media tempatan, yang memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan  Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata, mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia.

Menurut Igun, jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.

Gojek diasaskan oleh Nadiem Makarim, 35, yang juga kini Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kebanggaan Indonesia itu.

Ia bukan sekadar menyediakan perkhidmatan membonceng motosikal (GoRide) tetapi menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti GoCar (pengangkutan kereta seperti GrabCar), GoFood (penghantaran makanan), GoBlueBird (perkhidmatan teksi), GoBills ( pembayaran bill semasa), GoMart (perkhidmatan pembelian barangan di supermarket), GoLaundry (perkhidmatan dobi), GoAuto (perkhidmatan membaiki kenderaan) dan banyak lagi. - Bernama