Upacara angkat sumpah dimulai tiga ADUN iaitu Datuk Jeffery Kitingan (Tambunan), Datuk Hajiji Mohd. Noor (Sulaman) dan Datuk Masidi Manjun (Karanaan).

Upacara angkat sumpah tersebut berlangsung di dalam bilik Speaker di Bangunan DUN Sabah di sini.

Bagaimanapun, dua ADUN iaitu ADUN Sungai Sibuga yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan tidak hadir.

Difahamkan, Nizam sedang menunaikan Umrah manakala Musa masih menjalani rawatan.

Hajiji berkata, upacara angkat sumpah tersebut sekali gus meletakkan status 19 ADUN sebagai ahli dewan yang sah di negeri ini.

"Hari ini seramai 19 ADUN sah mengangkat sumpah sebagai ahli dewan. Selepas ini kita akan terus menumpukan perkhidmatan di kawasan kita," katanya ketika ditemui di perkarangan DUN di sini hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, tiada peraturan khusus untuk melaksanakan upacara mengangkat sumpah kecuali memerlukan kehadiran Speaker DUN.

"Tiada isu mengenai upacara angkat sumpah hari ini. Perkara yang penting adalah kehadiran Speaker," katanya. - K! ONLINE