Gerhana bulan yang bermula pada pukul 1.14 pagi dan berakhir pukul 7.28 pagi itu memukau orang ramai dari seluruh pelosok dunia apabila bulan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan sebelum kembali ke warna asal dalam tempoh lima jam.

Dari Tanjung Harapan, Selangor ke Asia Barat dan dari Kremlin ke Pelabuhan Sydney apabila orang ramai sanggup mengorbankan masa tidur masing-masing semata-mata untuk melihat bulan yang bertukar gelap sebelum bersinar ke warna oren, coklat dan merah dalam bayang-bayang.

Menurut Pentadbiran Aeoronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), gerhana bulan pada kali ini telah berlaku selama 1 jam, 42 minit dan 57 saat apabila matahari, bumi dan bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayang umbra bumi.

Gerhana bulan sepenuhnya turut dapat dilihat dari Eropah, Rusia, Afrika, Asia Barat dan kebanyakan negara di benua Asia dan Australia.

Sebaliknya penduduk di Amerika Syarikat atau sebahagian besar dari kawasan Pasifik tidak berpeluang menyaksikan fenomena unik itu.

Di Malaysia pula orang ramai bertuah dapat menyaksikan gerhana bulan itu dengan jelas misalnya di Kuala Terengganu dan Sarawak.

Dikatakan gerhana bulan paling lama seterusnya dipercayai akan berlaku pada tahun 2123. - Reuters