Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, operasi menyelamat tamat kira-kira pukul 4.30 pagi melibatkan 239 orang, termasuk 130 pendaki di rumah rehat itu di Panalaban pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Panalaban adalah lokasi persinggahan yang mana pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.

"Ekoran gempa bumi tersebut, pihak APM bersama agensi penyelamat lain bekerjasama untuk membantu usaha menyelamat pendaki serta kakitangan bertugas turun dari Laban Rata menuju ke tempat selamat di Timpohon Gate (titik permulaan pendakian)," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tindakan membawa turun pendaki bermula sejak kira-kira pukul 9.40 malam yang dipimpin oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar). - Bernama